Wednesday, January 26, 2011

Tangani tekanan di pejabat

DUNIA pekerjaan memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.

Keadaan ini, jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti dan motivasi kepada seseorang, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

Pakar Psikiatris di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menjelaskan, tekanan sebenar yang dihadapi di tempat kerja merupakan tindak balas fizikal, emosi dan juga mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan kerja.

Biarpun ia bukan satu penyakit kronik, namun begitu, jika tekanan adalah tinggi dalam jangka masa yang panjang ia boleh menjejaskan kesihatan dan kreativiti.

''Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, resah, ketakutan dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

"Keadaan ini jika dibiarkan akan memudaratkan diri sendiri serta kesihatan," katanya.

Ujarnya, kebiasaan pekerja yang tertekan akan menunjukkan ciri-ciri negatif kepada dirinya, malah dari sudut produktiviti kerja pula turut terjejas sehingga boleh menjejaskan motivasi seseorang itu.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tekanan di pejabat dilabel sebagai 'Penyakit' abad ke-20 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa tekanan ialah Epidemik Dunia.

Malah WHO juga menjangkakan bahawa tekanan di tempat kerja merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada semua lima penyakit utama di dunia iaitu penyakit jantung, kemurungan melampau, kemalangan jalan raya, strok dan penyakit paru-paru yang kronik menjelang tahun 2020.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (1996) menunjukkan kadar prevalen kemurungan ialah pada 11 peratus, kejadian bunuh diri yang tinggi iaitu 2,000 orang setahun dengan purata 7 orang sehari dan 13.7 peratus remaja Malaysia khususnya pelajar menghadapi masalah kesihatan berkaitan mental.

Ditanya apakah punca utama sehinggakan berlaku tekanan di tempat kerja, Dr. Muhammad Muhsin menjelaskan pelbagai faktor boleh mendorong seseorang itu menjadi tertekan. Antaranya suasana kerja, persekitaran yang bising, interaksi dan pelbagai lagi.

Selain itu, situasi tekanan dengan tugasan yang diberikan oleh majikan juga mendorong seseorang itu lebih tertekan.

''Keadaan ini menyebabkan pekerja berasa bosan untuk datang bekerja sehingga menyebabkan dia suka mengasingkan diri daripada pekerja-pekerja lain,'' ujarnya.

Situasi ini juga akan mendorong untuk pekerja itu menjadi malas ke pejabat sehinggakan merasakan dirinya tidak sesuai dengan tugasan yang diberikan kerana terlalu rendah taraf atau terlalu terbeban.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai strategi untuk mengurangkan tekanan di pejabat, beliau menjelaskan, pelbagai cara boleh digunakan, bagaimanapun ia bergantung kepada diri seseorang itu.

''Bagi sesetengah individu bersukan boleh melegakan tekanan yang dihadapi namun bagi sesetengah orang pula meluah atau berkongsi cerita kepada seseorang adalah cara terbaik untuk melegakan tekanan yang di hadapi.

''Semua ini bergantung kepada diri seseorang bagaimana dirinya untuk melepaskan perasaan itu," jelasnya.

Katanya lagi, bercuti juga mampu memberikan kelegaan kepada pekerja itu kerana melupakan seketika masalah yang dihadapi.

Bagaimanapun dalam masa sama, cubalah berkongsi cerita dengan orang yang paling rapat dengan kita antaranya seperti suami, ibu bapa atau rakan.

Katanya, melalui perkongsian cerita itu ia mampu mengalihkan perasaan tertekan dan juga marah itu menjadi reda.

Bagaimanapun, bagi yang beragama Islam digalakkan juga untuk bermunajat kepada Allah dengan berdoa atau melakukan solat-solat sunat.

Selain itu, tegasnya, kehidupan yang sihat adalah sesuatu cara yang paling baik untuk menyelesaikan masalah tekanan.

''Tidak salah kalau kita bahagikan masa antara kerjaya dan juga diri sendiri kerana pengurusan masa yang betul mampu memberikan ketenangan pada seseorang,'' ujarnya serius.

Bisikan Permaisuri di Tanjung Tuan

TIADA unsur alam di dunia ini yang dapat mengatasi kehebatan kuasa terapi yang dimiliki oleh laut dan pantai. Pertemuan di antara kedua-duanya memberi seribu satu ketenangan.

Meskipun ada kalanya ia dianggap sebagai lawan, kita lebih mengenalinya sebagai peneman.

Deruan air dan hembusan bayu yang dilepaskan adalah rawatan terbaik yang dapat merungkaikan setiap daripada kecelaruan.

Itulah antara sebab mengapa lokasi percutian tepi pantai terus diminati bahkan menjadi destinasi pelancongan paling popular di negara ini dan juga di dunia umumnya.

Namun untuk mendapatkan tempat seperti yang tergambar di fikiran anda sekarang bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi penghuni kota, ia tidak mungkin dinikmati tanpa memandu seharian di jalanan.

Terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuala Lumpur dan 15 minit perjalanan berkereta dari pantai percutian Teluk Kemang, Permaisuri Resort merupakan syurga baru di antara puluhan lokasi percutian di Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Terasing dari kelompok penginapan yang lain, Permaisuri Resort yang memulakan operasi pada akhir 2009 menawarkan pengalaman percutian unik dan tersendiri bagi mereka yang bertandang ke daerah pelancongan tersohor itu.

Keistimewaan resort hotel itu adalah pilihan 100 unit penginapan yang kesemuanya dibina mengadap ketenangan laut di Tanjung Biru.

Kemewahan bilik dikategorikan kepada pangsapuri tiga dan satu bilik, studio dan bilik eksklusif bertaraf kenamaan (VIP).

Ketibaan saya bersama tiga orang rakan ke Permaisuri Resort baru-baru ini disambut mesra oleh kakitangan di lobi resort. Walaupun menerima tetamu yang agak ramai pada hujung minggu itu, ruang letak kereta masih tersedia pada jarak yang dekat bagi setiap tetamu.

Semasa berdiri di kaunter sementara menunggu urusan pendaftaran masuk dilakukan, biasan air laut yang berkilau-kilau di sebalik celahan pohon rhu pantas ditangkap oleh anak mata.

Dan tanpa banyak berlengah, lif terus membawa kami ke tingkat tujuh untuk menjenguk ke unit pangsapuri tiga bilik yang bakal menjadi kediaman selama tiga hari dua malam.

Langkah pertama selepas menyelak daun pintu unit itu disambut oleh ruang dapur yang ringkas tetapi cukup luas untuk kegunaan satu keluarga.

Dari penghujung dapur, ruang dalaman rumah dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu ruang makan malam dan ruang tamu.

Meskipun terlalu banyak perkara menarik yang boleh diperhatikan sama ada di lantai dan yang tergantung di dinding, hati ketika itu lebih teruja untuk memeriksa bilik tidur.

Bilik tidur utama yang dilengkapi bilik air sendiri sememangnya luas. Bahkan cukup selesa untuk tambahan seorang kanak-kanak.

Begitu juga dengan keluasan dua lagi bilik yang langsung tidak mengecewakan. Luas seperti bilik hotel empat bintang. Penghuni cuma perlu berkongsi bilik air yang terletak di bahagian tengah rumah.

Di ruang tamu yang menempatkan televisyen LCD, penghuni disediakan sofa untuk empat orang. Di belakangnya, meja makan malam selesa untuk enam orang.

Dari beranda yang luas, pemandangan disajikan dengan pertemuan kaki langit dengan lautan yang luas membiru. Di bahagian bawah, halaman resort dihiasi kolam renang untuk keceriaan seisi keluarga.

Jika waktu pagi disempurnakan dengan pemandangan matahari terbit, sebelah malamnya penghuni boleh menyaksikan pancaran cahaya yang berputar-putar dari rumah api Tanjung Tuan.

Mengambil kira keluasan unit yang diberikan tanpa rasa kedekut itu, penginapan di unit berharga RM580 semalaman berserta makan pagi untuk enam orang itu cukup berbaloi dan selesa.

Selain kamar yang mengadap laut, percutian di resort itu disempurnakan dengan sebuah kolam renang besar yang dilengkapi tiub gelongsor untuk kepuasan kanak-kanak.

Pada sebelah petang, kemeriahan di tepi pantai dimeriahkan dengan permainan seperti bola sepak pantai, bola tampar pantai dan sepak raga. Bagi yang mahukan lebih cabaran, rekreasi seperti berkayak, bot pisang dan ATV sedia disewa pada harga yang berpatutan.

Pengurus Besar Kumpulan MITC Ancasa Hotel (M) Sdn. Bhd, Aswandy Hassan berkata, Permaisuri Resort dilengkapi dengan pelbagai keperluan yang memenuhi segala kehendak percutian, mesyuarat dan persidangan.

Antara kemudahan asas yang disediakan termasuk dua buah dewan utama, dua bilik seminar, dua restoran, kedai runcit, surau, bilik karaoke, gimnasium dan bilik snuker.

"Bagi memeriahkan suasana bercuti, kami menyediakan pelbagai pakej istimewa bagi pasangan berbulan madu, percutian keluarga dan juga korporat.

"Selain itu, persembahan kebudayaan dan tarian api juga dimainkan pada hujung minggu sebagai hiburan untuk penghuni," katanya.

Di samping menikmati keindahan pantai dan laut yang mempesonakan, pengunjung di Permaisuri Resort juga boleh merasai kehijauan hutan yang terletak bersebelahan dengan resort.

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan Negeri Melaka di situ adalah hutan dara yang menyimpan aneka spesies flora dan fauna.

Selain tarikan rumah api, kawasan itu juga dikenali sebagai satu daripada lokasi persinggahan berpuluh-puluh ribu burung migrasi yang terbang melintasi benua ini ke kepulauan Indonesia.

Fenomena istimewa itu boleh disaksikan pada bulan September hingga Oktober dan Mac hingga April setiap tahun.

Menariknya lagi, tanah di Tanjung Tuan yang mengunjur ke Selat Melaka itu penuh dengan sejarah dan misteri yang pasti menjadikan percutian lebih berharga.

Misteri

Jika bertandang ke Permaisuri Resort, jangan lepaskan peluang untuk menyelongkar misteri di sekitar kawasan rumah api setinggi 24 meter yang dibina oleh kerajaan Inggeris pada abad ke 16.

Di depan binaan bersejarah itu adalah Cape Richardo yang pernah menyaksikan pertempuran laut terbesar di Kepulauan Melayu antara Belanda dan Portugis suatu ketika dahulu.

Diceritakan juga misteri pusaran air yang berlaku ketika bulan mengambang di kawasan itu. Kejadian itu dikatakan telah menenggelamkan banyak kapal-kapal nelayan.

Sementara itu Aswandy berkata, selain Permaisuri Resort, MITC turut menguruskan tiga hartanah membabitkan perhotelan dan pusat peranginan iaitu Permaisuri MITC Hotel Melaka, Hotel Permaisuri Melaka Stadium Hang Jebat dan Hotel Permaisuri De'Lisbon(De'Lisbon).

"Setiap daripada cawangan hotel MITC menawarkan keunikan, tarikan dan kelebihan yang berbeza.

"Dengan pilihan itu, kita harap MITC dapat memenuhi lebih banyak cita rasa pelancong," ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai Permaisuri Resort, boleh diperolehi dengan menghubungi 06-6621558 atau melayari laman web www.mitcchainhotel.com.

Mak oi, mahalnya harga air mineral


MUNGKIN ada yang hairan kerana minggu ini Bidai ingin memperkatakan mengenai air mineral yang sering kita minum di dalam botol.

Tapi bukanlah Bidai nak memperkatakan tentang keaslian air mineral itu kerana setakat ini Bidai belum lagi terima apa-apa laporan yang mengatakan air mineral itu tidak asli. Mungkin ada.

Kali ini Bidai nak memperkatakan tentang harga air mineral yang pelbagai dan dijual di mana-mana sahaja.

Ya, air mineral boleh kita peroleh di mana-mana tidak kiralah ketika kita nak menonton wayang, menyaksikan konsert, berjalan-jalan di kawasan tumpuan dan minum di restoran mamak mahupun di kafe-kafe terkemuka.

Air mineral pasti menjadi salah satu daripada menu minuman mereka.

Yang menjadi pelik kepada Bidai ialah air mineral yang dijual itu datang dengan pelbagai harga. yang paling mahal pernah Bidai minum air mineral ialah berharga RM5 untuk sebotol kecil air mineral 500 mililiter (ml).

Agak pelik Bidai dengan keadaan ini kerana air itu dijual di sebuah restoran yang agak ternama dan sering menjadi kunjungan orang ramai.

Jadi disebabkan ia adalah sebuah restoran ternama, Bidai menjangkakan mereka mampu membeli dengan banyak botol air mineral dan pastinya kos untuk membeli itu akan berkurangan berbanding warung-warung di tepi jalan yang hanya membeli paling banyak dua kotak air mineral berkenaan pada setiap masa.

Jadi sudah pasti warung akan menjual lebih mahal berbanding restoran terkena itu, namun ia sebaliknya.

Di warung Bidai masih boleh dapat paling kurang RM1.50 bagi sebotol air mineral 500ml.

Tidak masuk akal harganya dinaikkan sehingga RM5.

Kalau nak dikatakan ia air mineral import yang akan berhubung kait dengan duti dan eksais, Bidai rasakan tidak, kerana ketika itu botol air mineral itu sah-sah terpampang jenama air buatan Malaysia yang menjadi Super Brand di negara ini.

Malah ada juga kafe yang kurang ternama, namun mempunyai suasana selesa dan agak 'mahal' turut memaparkan harga RM3 bagi sebotol air mineral pada menu mereka.

Maka Bidai merasakan sudah sampai masanya pengguna diberi bantuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menetapkan satu harga siling bagi penjualan air mineral bagi mengelakkan penjual mengambil kesempatan.

Bukan apa, bila kita sering menyebut air mineral, ia sudah seakan menjadi satu 'Trade Mark'.

Semua air yang jernih dan berwarna putih di dalam botol adalah air mineral walhal hakikatnya ia adalah air minuman.

Pada mereka yang tidak tahu, air minuman merupakan air yang diperoleh daripada air paip dan dirawat atau disuling dan ada juga dilakukan osmosis songsang bagi menambah kandungan oksigen di dalam air berkenaan.

Manakala air mineral diperoleh daripada sumber air bawah tanah yang sudah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagi yang tidak biasa, mereka akan telan air berkenaan. Namun bagi mereka yang tahu membezakan 'air paip' dan air mineral, kandungan klorin akan dapat dirasai.

Penjual turut mengambil kesempatan dengan menjual air minuman dengan kapasiti 500ml itu dengan harga RM5 walhal di pasar raya hiper, ia boleh diperoleh dengan harga 25 sen sebotol manakala 70 sen sebotol bagi air mineral bermutu tinggi.

Kalau air mineral jenama pasar raya berkenaan, ia akan dijual dengan harga 50 sen sahaja.

Bayangkan berapa banyak kita dah ditipu peniaga. Takat nak jual RM1 untuk air mineral Bidai tak kisah, tapi dah melampau kalau dinaikkan sehingga RM5 sebotol.

Yang peliknya, KPDNKK tidak mengawal harga air minuman dan mineral di kafe, kopitiam dan restoran. Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan di Parlimen tahun lepas mengenai ada pengguna yang dikenakan 60 sen untuk segelas air suam.

Dalam menjawab persoalan itu, Tan mengatakan pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan jika harga air berkenaan ada dipamerkan dan terpulang kepada pengguna untuk membeli atau tidak.

Tapi Bidai merasakan jawapan itu kurang kenalah. Bukan apa, ketika kerajaan sibuk nak promosikan pengurangan penggunaan gula dalam minuman dan makanan, sepatutnya beberapa tindakan proaktif turut diambil termasuk mengawal dengan lebih berkesan harga air mineral dan air minuman.

Bukan susah, kenakan harga siling kepada air mineral dan air minuman, itu saja. Peniaga pun takan nak jadi kaya cari untung menjual air mineral ni?

Bukan apa. Bidai mengatakan semua ini kerana tidak mahu pembaca tertipu dengan helah peniaga yang menjual dengan harga mahal, tetapi air itu dibeli dengan harga murah.

Lagi satu, mereka menipu dengan mengatakan air yang dijual itu ialah air mineral namun pada hakikatnya ia adalah air minuman daripada paip.

Bagi mereka yang masih pening dengan keadaan ini, Bidai nak beritahu cara mudah untuk mengenali mana satu air mineral dan mana satu air minuman.

Perkara ini Bidai peroleh dalam satu blog dan Bidai cuba membuat pemeriksaan.

Memang ya, jika kita nak tahu yang dijual itu adalah air mineral, pastikan penutup botolnya berwarna, tak kiralah biru ke, hijau ke, kuning ke. Penutup air minuman hanyalah berwarna putih.

Tak percaya? Cuba tengok di kedai-kedai yang menjual air-air itu.

Jadi para penjual, Bidai nasihatkan janganlah kita terlampau-lampau menaikkan harga air mineral. Ini kerana air mineral memang baik untuk kesihatan jika diamalkan.

Takan nak lagi mahal daripada harga petrol RON95 kot?

Fikirkanlah...

Tuesday, January 11, 2011

Apa ada dengan RM1 - seringgit?

HENTIKAN dulu cakap politik dan kebarangkalian tindakan repot polis yang boleh memeningkan. Jom kita teliti not seringgit, atau RM1 kita.

Teliti betul-betul wang kertas itu. Saya pun sambil menaip turut mengeluarkan not itu dan membelek-beleknya.

Ia berwarna biru. Di bahagian belakang ada gambar gunung Kinabalu, landskap tertinggi negara ini dan di Asia Tenggara. Wau bulan serta gambaran kepulauan nelayan dari arah laut turut terpapar di atas kertas itu.

Sebelum ini tiada siapa yang benar-benar membeleknya. Apalah sangat RM1. Mungkin ia hanya dibelek oleh pelancong yang baru pertama kali melihat not itu. Peniaga pun tak bimbang jika itu not palsu. Tiada apa yang istimewanya.

Nak kata ia menarik, biasa saja. Berbanding dengan rekaan matawang asing lain, mungkin nilai seringgit kita itu tidaklah hebat mana.

Itu dari segi rupa bentuknya. Bagaimana pula dengan nilainya? Denominasi seringgit itu dibentuk daripada mata desimal 100 sen. Dari nilai siling sekecil 5 sen, 10 sen, 50 sen ia boleh dicampur-campur membentuk RM1.

Kini Bank Negara Malaysia (BNM), autoriti yang mengesah lakukan wang ringgit di negara ini tidak lagi mengeluarkan wang siling 1 sen. Mungkin BNM ada alasan berbuat demikian. Difahamkan untuk mengeluarkan siling 1 sen kosnya ialah sekitar 20 sen? Oleh itu ia dihentikan pengeluaran. Jadi nilai wang kita hanya bermula dari siling 5 sen.

Dari segi ilmu hisab, kita sudah rugi 4 sen. Tapi 5 sen pun sudah jarang digunakan oleh pekedai. Oleh itu kita sudah rugi 5 sen.

Pekedai lazimnya akan mula mengira mulai 10 sen. Maka kita pengguna sudah rugi 9 sen!

Sering dulu jika harga gula naik 10 sen sekilogram, maka mamak-mamak stall akan menaikkan harga minuman kegemaran orang Malaysia, teh tarik dengan harga 10 sen segelas. Maka harga segelas teh tarik sekarang ialah RM1.20 sen.

Mamak (harap jangan saman saya kerana guna istilah ini) enggan menggunakan 5 sen untuk menaikkan harga minuman itu. Mereka lebih gemar memilih 10 sen. Entah kenapa saya pun tak tau.

Budaya menggunakan 1 sen sudah hilang di negara ini. Sepatutnya nilai RM1 ialah 100 sen dan setiap sen patut diambil kira. Dulu jika kita beli kasut Bata, harga mengikut pecahan sen-sen amat popular, begitu juga di McD dan bayar bil elektrik dan air. Kini semuanya dibulatkan kepada 5 sen dan 10 sen.

Nilai 100 sen itu sudah mengecil. Dalam suasana inflasi yang semakin ketara sekarang, walaupun BNM hanya melaporkan angka yang rendah, nilai RM1 sudah hampir tiada. Harga teh tarik melebihi RM1. Masuk tandas awam kini ialah 50 sen, dua orang RM1. Belanja budak sekolah sekurang-kurangnya RM3.

Jika BNM mahu menjimatkan kos pengeluaran 1 sen, pengguna juga yang tertekan dengan kos barangan, turut rugi dari segi nilai sen-sen itu.

Mungkin, jika nilai 1 sen itu dibudayakan semula - seperti di Amerika Syarikat yang masih aktif menggunakan Penny (1 sen), Nickel (5 sen), Dime (10 sen), Quarter (25 sen), Half dollar (50 sen) - maka nilai RM1 kita akan lebih bernilai lagi.

Pada masa itu mamak mungkin akan memikirkan untuk menaikkan teh tarik hanya kepada RM1.21 sahaja berbanding RM1.30 sekarang.

Walaupun cadangan ini nampak bodoh dan mengarut kerana nilai 1 sen sudah dimansuhkan, kita berharap BNM boleh memikirkan sesuatu atau semula.

Rakyat kini sebenarnya mulai gelisah kerana nilai mata wang mereka semakin mengecil. Jika dulu orang kampung boleh berbelanja dapur dan petrol motosikal sekitar RM300 sebulan, kini nilainya sudah menjadi RM250 dan ke bawah dan ke bawah.

Ia lebih memeritkan bagi mereka yang tinggal di bandar dan kota raya. Gaji RM2,500 ialah miskin bandar. Tapi majikan masih kedekut dan amat berkira untuk menaikkan gaji. Gaji yang diperoleh tidak setaraf dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kelok gaji dan kelok kos barang dan perkhidmatan tidak seimbang.

Kita berharap pakar-pakar ekonomi negara dapat memikirkan sesuatu mengenainya. Jika ke Britain nilai 1 Pound itu masih cukup besar, tapi RM1 kita sudah terlalu kecil.

Bagi saya yang minum teh tarik bersama kawan malam tadi, nilai RM1 hanya untuk disedekahkan kepada orang buta yang silih berganti ke kedai-kedai makan sekitar ibu kota.

RM1 sudah mulai tidak dipedulikan. Tapi bagi orang buta yang mengutip RM1 bagi setiap meja - dan berjaya melakukannya ke atas beratus meja setiap malam - mereka itulah sebenarnya yang mewah.

Dan dalam keadaan ekonomi baik atau tidak seperti sekarang, jumlah orang buta (dan buat-buat buta) seperti itu semakin hari semakin ramai...

Ujian kesihatan sebelum kahwin

SETIAP orang mengimpikan perkahwinan yang indah dan bahagia. Ada yang sanggup berhabis berpuluh ribu ringgit semata-mata mahukan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang walaupun terpaksa berhutang.

Selain persiapan material, ada satu lagi persediaan penting yang perlu anda dan pasangan lakukan sebelum melangsungkan perkahwinan iaitu menjalani ujian kesihatan.

Ujian ini membantu mengenalpasti masalah kesihatan dan risiko yang bakal dihadapi pasangan dan anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemophilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 adalah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Daripada jumlah tersebut 70 peratus dijangkiti virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Antara ujian lain yang turut disarankan adalah saringan untuk penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Talasemia dianggap antara penyakit genetik yang lazim membabitkan hampir tujuh peratus penduduk dunia. Di seluruh dunia dianggarkan 100,000 bayi dilahirkan menghidap talasemia major (teruk).

Bagi pembawa genetik talasemia (juga dikenali sebagai talasemia minor) biasanya tidak mengalami sebarang gejala; atau jika ada ia sangat ringan seperti keletihan yang dianggap 'masalah biasa' dan ia hanya dapat dikesan melalui ujian darah.

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan adalah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Ujian kesihatan pra perkahwinan bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif.

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang bakal dihadapi kelak pada pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatandemi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian pelanggan Pathlab 03-7882 6888.

DR. L. Y. Kam ialah Pengamal Kesihatan di PATHLAB.

Cergas dengan cara betul

PUSAT kecergasan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kecil atau besar, semuanya dengan satu tujuan; menyediakan tempat dan kaedah untuk pelanggan kekal cergas dan sihat melalui program yang ditawarkan.

Pelbagai pakej menarik disediakan, juga dengan tawaran yang kononnya menjimatkan dan berkesan, akhirnya kadangkala tidak kena cara, pelanggan juga yang menjadi mangsa.

Sudahlah begitu banyak wang dilaburkan dan hasilnya tidak seberapa, badan pula terpaksa menanggung akibatnya.

Sedarkah anda terdapat beberapa pusat kecergasan termasuk yang memiliki rangkaian besar mempunyai pelatih yang tiada kelayakan sewajarnya?

Menurut Master Trainer, Tanty Amin, jurulatih yang tidak mempunyai kelayakan atau memiliki kelayakan bukan dari badan sewajarnya mendedahkan pelanggan kepada masalah dalam jangka masa panjang.

"Mungkin mereka mampu melatih anda untuk kelihatan cergas dan menurunkan berat badan dalam jangka masa pendek, tetapi kaedah yang digunakan mungkin salah kerana tidak semua jenis latihan sesuai untuk setiap individu," kata jurulatih yang diiktiraf Persekutuan Antarabangsa Sukan, Aerobik dan Kecergasan (FISAF) itu.

Menghuraikan lebih lanjut kata beliau, mengambil contoh beberapa jenis latihan yang digunakan 10 tahun lalu tidak lagi sesuai setelah dikaji kerana ia mendatangkan kesakitan dan kecederaan kepada individu dalam jangka masa panjang.

Setiap individu katanya, berbeza keperluan bergantung kepada tahap kecergasan masing-masing dan juga keadaan fizikal.

"Latihan untuk atlet tidak wajar dipraktikkan oleh individu biasa. Begitu juga mereka yang menghidap sakit belakang, lutut, hipertensi dan sebagainya," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Sarjana Pergerakan Badan dan Rehabilitasi itu.

Dengan kelayakan yang diiktiraf badan seperti FISAF kata beliau, seseorang jurulatih itu sentiasa dibekalkan ilmu terkini dalam bidang kecergasan bagi membolehkan mereka melatih individu menggunakan kaedah yang betul.

Tambah ilmu melalui Unleashed 2011.

Program Unleashed 2011 yang akan berlangsung pada 22 Januari ini menyasarkan untuk membawa pembaharuan dari segi idea dan kaedah baru untuk kelas kecergasan mengikut modul terkini yang diiktiraf FISAF.

"Kumpulan sasaran kami adalah mereka yang terlibat dalam mengendalikan kelas kecergasan atau berkeinginan terlibat dalam bidang ini bagi mendapat pendedahan terkini," kata Tanty.

Jelasnya lagi, Unleashed 2011 bukanlah kursus kecergasan yang memberi sijil kelayakan buat mereka yang ingin mengendalikan kelas tetapi lebih kepada memberi pendedahan cara untuk bersenam melalui kaedah yang menyeronokkan.

Melalui program tersebut katanya, peserta boleh mengambil langkah seterusnya melalui perbincangan dan panduan yang akan diberikan.

Program yang mengambil masa sehari itu mengandungi pengisian enam kelas berlainan melibatkan jurulatih berkelayakan tempatan dan antarabangsa. Kaedah dalam setiap pengisian tidak menggunakan sebarang peralatan khusus untuk bersenam.

"Kami ingin memberi mesej bahawa untuk sihat dan cergas sebenarnya tidak memerlukan kos yang tinggi, asalkan kita tahu cara dan kaedah yang sesuai," kata Tanty lagi.

Tua tetapi cantik

MINGGU lepas saya berpeluang bertemu sekumpulan wanita di suatu majlis anjuran sebuah kelab. Saya diminta memberi nasihat kecantikan dan kesihatan kepada kaum wanita berusia selepas 40-an. Saya berasa bertuah dapat bertemu wanita yang rata-ratanya berusia antara 40 dan 60 tahun. Mereka tetap aktif, cantik dan anggun.

Inilah generasi yang menjadi kebanggaan Malaysia. Di usia lewat 30-an malah melepasi 40-an, wanita masa kini mencapai kestabilan dalam kerjaya dan ekonomi. Mereka juga tidak mahu melepaskan peluang menimba ilmu bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan. Saya kagum melihat wanita yang bukan saja jelita malah bijaksana.

Kumpulan wanita yang saya temui meminta petua dan cadangan bagaimana mahu meningkatkan penampilan masing-masing. Di abad ini kemajuan perubatan esthetic dan anti penuaan mula mendapat tempat di hati mereka. Ramai yang mula menyedari bahawa kekal sihat dan cantik di usia melepasi 40-an dapat dicapai dengan kaedah saintifik dan bukannya sesuatu yang mustahil. Apabila darah kekal muda sudah pasti kita juga akan tampak muda dan tidak akan terkena penyakit penuaan seperti lupa, nyanyuk dan tulang rapuh.

Menjadi tua dan keletihan bukanlah satu takdir. Kemajuan dalam bidang sains dan perubatan menjadikan kita mampu mengubahnya demi mendapat sebuah kehidupan yang lebih berkualiti dan sejahtera. Kita yang bakal menentukan masa depan serta nasib kita sendiri. Sekiranya kita membiarkan diri dimamah usia maka sudah pasti sukar untuk memperoleh sebuah kehidupan yang berkualiti.

Terdapat juga mereka yang masih musykil dan kurang pemahaman terhadap rawatan anti penuaan. Mereka menyangka perubatan anti aging sekadar mementingkan wajah yang kelihatan muda berbanding usia sahaja.

Saya pernah ditanya: ''Kenapa kita harus menjalani anti penuaan? Menjadi tua adalah ketentuan Tuhan. Kita tidak boleh menolak takdir itu.''

Di sini saya memperjelaskan lagi. Perubatan anti penuaan bukan bermaksud menolak takdir. Kita mengkaji masalah tubuh badan apabila usia meningkat dan menyukat kandungan hormon di dalam darah. Tujuan perubatan ini adalah meningkatkan paras hormon agar menepati skala yang dimiliki ketika usia muda. Dengan kata lain kita meningkatkan tahap hormon di dalam tubuh. Ini kerana hormon adalah zat dalam badan yang membolehkan fungsi tubuh berjalan dengan lancar. Apabila darah kembali muda maka akan terselamat daripada penyakit berkaitan kekurangan hormon seperti kemurungan, kegemukan, kanser, masalah tulang dan kulit yang kendur berkedut.

Di sini saya senaraikan jenis-jenis rawatan esthetic yang sesuai bagi usia 40 tahun ke atas.

1. Rawatan mencegah pigmentasi dan kedutan.

Kesan penuaan menyebabkan lapisan kolagen menjadi nipis menyebabkan kedut mudah timbul. Malangnya dengan menyapu atau memakan kolagen sebenarnya tidak boleh mengganti kolagen yang hilang.

Prosedur untuk menjaga kulit sentiasa muda, merangsang pembentukkan kolagen dan menghilangkan pigmentasi adalah:

* Chemical peeling

*Microdermabrasion

Kedua dua prosedur tersebut boleh dilakukan secara rutin sebulan sekali untuk mengekal atau melambatkan kulit muka daripada cepat tua. Microdermabrasion dan chemical peeling boleh merangsang kulit untuk menghasilkan lebih banyak kolagen dan boleh menghilangkan pigmentasi.

2. Rawatan laser bagi meningkatkan kolagen dan membuang pigmentasi.

*Laser Q switched Nd:Yag boleh memecahkan pigmen menjadi partikel lebih halus dan dibuang sebagai toksin daripada badan.

*Laser CO2 atau erbium (pixel/fotona) untuk membuang pigmentasi epidermal. Rawatan laser juga boleh merangsang kulit menghasilkan lebih banyak kolagen agar gebu dan tegang.

3. Rawatan menghilangkan parut muka.

CO2 laser atau Erbium Laser dapat meratakan parut di muka akibat kesan jerawat atau kecederaan kulit. Sangat berkesan untuk menghilangkan skin tag atau tahi lalat.

4. Rawatan menegangkan kulit muka.

*Frekuensi Radio - selamat dan berkesan. Namun memerlukan banyak sesi untuk memperoleh hasil yang memuaskan.

*Focal Ultrasound (Ulthera ). Teknologi terbaru menegangkan kulit dan menghilangkan kedut-kedut halus di muka dan kawasan sekitar mata

*Filler. Menghilangkan kedut akibat tua. Mengisi tempat atau menambah kandungan pada muka yang cengkung agar berisi dan gebu.

5. Scarless Facelift.

Suspension thread lift (Serdev). Mudah, tiada parut dan berkesan. Ia mampu mengangkat semula wajah yang kendur. Teknologi ini mudah dan tiada kesan sampingan. Hasilnya juga cantik dan bertahan sehingga sepuluh tahun.

6. Platelet Pich Plasma.

Untuk memudakan kulit wajah PRP dibuat setiap dua atau tiga bulan sekali. Kaedah ini menggunakan suntikan darah pesakit sendiri yang telah diproses bagi memudakan sel-sel pada kulit. Teknologi ini berasaskan stem sel yang mampu mengisi ruang kosong pada kulit. PRP juga boleh diproses sebagaimana filler bagi menggantikan kandungan matriks kulit yang sudah hilang.

7. Terapi hormon Bio- Identikal.

Kini pengetahuan dan pandangan terhadap hormon sudah berubah. Penuaan berlaku akibat kekurangan hormon yang kritikal. Apabila kelenjar hormon tidak berfungsi dengan baik maka kita mula mendapat gejala penuaan. Kekurangan hormon bukan sahaja membuatkan kulit kita berkedut dan kering malah mengalami pigmentasi dan keguguran rambut. Kekurangan hormon juga sering mencetuskan kemurungan dan membuatkan seseorang berasa resah tanpa sebab.

8. Rawatan mata

Apabila usia meningkat mata juga menjadi kecil dan mudah mendapat lemak pada kawasan kelopak mata. Pandangan juga menjadi kurang terang. Rawatan esthetic boleh meningkatkan kecantikan dan menjaga kesihatan mata kita.

Ilmu mengenai anti penuaan perlu dipertingkatkan kerana ia membolehkan kita menjalani kehidupan di usia melepasi 40-an dengan kesihatan yang baik dan rupa paras yang cantik berseri. Selamat mencuba.