Thursday, January 6, 2011

Akibat termakan hasutan bomoh palsu


KUALA LUMPUR – Seorang pengurus operasi kilang sanggup mengambil keputusan menceraikan isterinya gara-gara hasutan bomoh yang mendakwa wanita itu mengamalkan ilmu hitam, sehingga boleh menyebabkan kematian.

Bomoh yang dipanggil ‘sifu’ itu dikatakan turut menghasut lelaki terbabit menjauhkan diri daripada dua anak mereka sehingga dia meninggalkan rumah, untuk menyelamatkan diri, sejak lima bulan lalu.

Isterinya yang dikenali sebagai Loh mendakwa, suaminya juga mengambil wang simpanan persekolahan anak-anaknya sebanyak RM37,000 untuk tujuan ‘pemulihan’, tanpa pengetahuannya.

Menceritakan lanjut, Loh, 44, berkata, dia dan suaminya yang dikenali sebagai Ong mengenali bomoh itu sejak 20 tahun lalu.

“Ong memperkenalkan lelaki itu (bomoh) sebagai adik angkatnya.

“Saya tidak sangka adik angkatnya rupa-rupanya adalah bomoh palsu dan dia (bomoh) menghasut suami supaya membenci saya,” katanya pada sidang media bersama Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong di Wisma MCA, di sini, semalam.

Loh berkata, suaminya memang berkawan rapat dengan bomoh itu sehingga sanggup meminjam wang daripada rakan-rakan sekerja dan menjadi penjamin kepada sifu itu yang didakwanya banyak berhutang, selain tidak bekerja.

Katanya, dia hanya menyedari penipuan bomoh itu selepas mengadu kepada jirannya tentang tindak tanduk suaminya yang sering pulang lewat dan tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap keluarga termasuk mengabaikan perbelanjaan persekolahan dua anak mereka.

Menurutnya, Ong juga menolak perhubungan intim dengannya, mendakwa makanan yang disediakan beracun sehingga boleh membunuh dan pada masa sama, lelaki itu dilihat kerap menghabiskan masa dengan adik angkat (bomoh) sebelum akhirnya meninggalkan rumah.

“Saya mengadu kepada jiran tentang perlakuan pelik suami saya dan dia (jiran) menunjukkan satu keratan akhbar berkenaan kes sama seperti yang saya hadapi. Kes itu berkaitan penipuan bomoh palsu.

“Kemudian, saya cuba menghubungi Ong, tetapi gagal. Anak saya juga pernah menelefon bapanya merayu dia pulang, tetapi Ong memberitahu dia tidak mahu pulang ke rumah dengan alasan saya boleh mengancam nyawanya,” katanya.

Loh berkata, sebelum kejadian, suaminya seorang lelaki yang bertanggungjawab dan penyayang.

“Saya terkilan kerana dia tidak berfikir secara rasional, sebaliknya percaya pada dakwaan bomoh itu. Sekarang, Ong hendak menceraikan saya,” katanya.

Sementara itu, Chong berkata, pihaknya menerima 32 kes membabitkan pembohongan bomoh palsu sejak 2006 hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes direkodkan pada tahun ini membabitkan modus operandi yang sama seperti kes dialami Loh.

No comments:

Post a Comment