Sunday, December 26, 2010

40 tahun kekal sendiri



LALUAN yang disusurinya itu bukan satu laluan yang asing. Entah mengapa laluan itu kadangkala bagaikan jerangkap samar yang bila-bila sahaja boleh menjerat dirinya.

Semakin banyak dia berhati-hati, semakin banyak onak duri yang terpaksa diharungi. Tapi itu bukan masalah yang besar buat lelaki penakluk ini memandangkan dia sudah tegar dengan karma sebagai anak seni.

Untuk memuaskan hati semua orang, itu adalah mustahil. Akui Anuar Zain dalam satu pertemuan baru-baru ini, dia cuba sedaya upaya untuk memuaskan hati semua, tapi dia tak mampu.

Sebagai manusia biasa, itu tidak mungkin terjadi. Lantas dia cukup menghormati pendirian orang lain sama ada mahu terus meminati dirinya atau tidak. Asalkan dia tidak memberikan masalah kepada semua.

Bukan mudah untuk menjadi figura dambaan jutaan peminat di sini. Dirinya sering sahaja terhimpit dalam kancah kontroversi sehingga membuatkan dia lali.

Tidak mahu terus terbawa dalam emosi sendiri, dia yakin percaturannya kini berada dalam landasan yang betul. Membiarkan sahaja nista orang berlalu kerana kebenaran itu pasti muncul semula.

Semakin ramai yang meminatinya, tidak kurang juga yang kurang senang dengan kelibatnya. Tapi harus diingat, Anuar Zain hanya ada satu di Malaysia.

Berpeluang bertemu figura pujaan ramai di penthouse mewah milik hotel terkemuka ini cukup santai. Satu persatu cerita dibuka oleh lelaki yang cukup terkenal dengan lagu Lelaki Ini tanpa berselindung lagi.

Dari soal peribadi sehinggalah perancangan tahun 2011 dirungkai tanpa sebarang prasangka. Bagi Anuar, sebagai manusia biasa dia juga layak untuk membuat apa sahaja seperti orang lain.

“Saya masih lagi Anuar Zain yang dulu. Masih minum teh tarik di kedai mamak dan melepak bersama kawan-kawan yang lain. Tidak ada bezanya seperti mana yang didakwa orang lain,” betah Anuar.

Masih sendirian

Melangkau usia 40 tahun cukup memberikan banyak pengalaman kepada sesiapa juga. Dalam fasa usia begini, ramai yang cukup bahagia melayari kehidupan tambahan pula dikelilingi anak-anak dan insan tersayang.

Tapi, dalam usia begini Anuar masih sendiri. Bersedirian mengharungi kehidupan sedangkan orang lain enak membuai rasa indah dengan orang yang mereka cintai.

Kalau diikutkan bukan sekarang sahaja isu ini melingkari dirinya. Sudah bertahun-tahun dia menghadapi soalan yang sama sampaikan sudah penat untuk menjawabnya.

Cukup klise dengan persoalan ini, Anuar mengambil keputusan tidak mahu mengelak. Baginya setiap orang berhak untuk bertanyakan apa sahaja mengenai dirinya termasuklah soal jodoh.

“Saya reda dengan kehidupan hari ini. Biarpun soalan yang ditanya kepada saya, jawapannya tetap sama. Saya gembira dengan kehidupan sekarang dan tak pernah terlintas dalam hati saya untuk sedih dengan apa yang telah berlaku.

“Saya tahu ada yang terbaik untuk diri saya. Hidup sendirian bukan satu perkara yang menjengkelkan. Kalau orang lain nak sakitkan otak kerana masih bersendirian, saya tak tahu.

“Mungkin jodoh saya belum sampai. Sebagai hamba Allah, aturan hidup kita sudah ada. Terpulang kepada kita nak laluinya bagaimana.

“Saya masih ada anak saudara yang ramai, ada pengurus yang cukup setia dari dulu lagi dan mempunyai ramai kawan-kawan yang berkualiti.

“Jadi tak timbul masalah masih sendiri kerana saya gembira dengan kehidupan hari ini. Ada banyak lagi perkara lain yang saya kena fikirkan dan kena buat untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kalau boleh biarlah saya tenang. Saya tak mahu rosakkan jiwa dengan persoalan masih membujang. Saya tidak ‘berdrama’ mengenainya,” ungkap Anuar satu persatu.

Dalam nada yang cukup merendah diri, Anuar yakin pertambahan usia setahun ke setahun itu memberikan kematangan yang besar pada dirinya.

Jelasnya, setiap hari dia tidak pernah lupa memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar diberikan rezeki berpanjangan dan kesihatan yang baik untuk meneruskan kehidupan.

Positif

Kalau diikutkan sejarah, pembabitan Anuar dalam arena seni suara sudah bermula seawal 13 tahun lagi. Mendiamkan diri seketika kerana mengejar cita-cita untuk terbang ke awan biru, Anuar akur bidang seni merupakan lubuk yang harus diteroka.

Adat sebagai anak seni, dia tidak pernah terlepas dari prasangka buruk orang. Semakin banyak dia menafikan, semakin ramai yang menjatuhkan hukuman sendiri.

Ditambah dengan kecanggihan era teknologi tanpa sempadan ini, dia tahu dirinya sering menjadi sasaran pihak yang tak bertanggungjawab menyebarkan cerita yang tak benar.

“Saya tahu banyak cerita negatif mengenai saya dipaparkan di pelbagai laman sosial. Kadangkala saya sendiri tak tahu tetapi orang lain lebih tahu dari saya.

“Saya tak kenal orang itu. Orang itu pun tak pernah mengenali saya. Jadi bagaimana dia boleh bercerita hal saya? Ini yang kerap kali berlaku.

“Itu belum lagi gosip yang langsung tak enak untuk didengar. Membuat cerita sampai boleh menimbulkan masalah besar kepada saya sendiri,” jelasnya tanpa berselindung.

Jika artis lain menggunakan laman sosial sebagai tempat meluah rasa mahupun medium interaksi bersama peminat, akui lelaki ini dia tidak pernah ada semua itu.

Bukan ditinggalkan teknologi sebaliknya cukuplah cerita apa sahaja yang dipaparkan di media massa mengenai dirinya diketahui umum. Dia tidak mahu terus berkongsi cerita peribadi untuk ditatap peminat selain soal keselamatan jadi agenda utama.

“Semua orang perlu bertanggungjawab! Adakah orang yang menggunakan laman sosial itu bertanggungjawab? Kalau dia kata ada Anuar Zain ada di sini dan orang yang tak bertanggungjawab datang buat perkara yang tak baik, siapa nak tanggung?

“Memang soal privacy cukup penting buat saya. Jangan ambil gambar curi sebab itu perbuatan biadab. Kalau nak apa kata cakap baik-baik dan saya akan layan baik juga. Kenapa masih ramai yang buat begitu?

“Kita kena ingat, manusia semakin kejam. Mereka kejam pada jari yang menulis sehingga menimbulkan masalah besar. Ini yang tak elok,” jelas Anuar satu persatu.

Album baru

Bakal muncul dengan album baru, bagaikan memberikan satu tenaga baru buat pelakon utama filem Bintang Hati ini. Seperti ada satu kuasa baru yang menyuntik dirinya untuk terus berbicara mengenai perancangan 2011.

Jika mengikut jadual asal, dia mahu menyasarkan untuk keluar dengan buah tangan terbaru pada bulan September. Namun segala-galanya masih lagi belum terjawab sehingga menginjak bulan Disember ini.

Ramai yang tahu Anuar cukup mementingkan kesempurnaan. Sudah pasti setiap pelaburan yang dikeluarkan itu cukup memuaskan hati setidak-tidaknya dia boleh tidur lena nanti.

“Semuanya masih dalam proses adunan terakhir dan hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk dilancarkan. Saya tahu ramai yang ternanti-nantikan album baru setelah lama menyepi tanpa sebarang produk.

“Sempurna atau tidak bukan satu ukuran kerana saya mahu mencari kepuasan. Buat album bukan satu perkara yang mudah, banyak wang yang terpaksa dilaburkan dan sudah pasti menuntut pengorbanan yang lebih.

“Kalau semuanya cukup memuaskan hati, sampai bila-bila pun saya akan bangga dengannya. Membuat kerja dengan teliti ini memang remeh tapi hasilnya akan jadi yang terbaik,” katanya lagi.

Cukup bangga dengan sambutan yang diterima melalui single Ku Berjanji Kerna Cinta yang kerap kali diputarkan di corong-corong radio, kini debarnya memuncak apabila lagu Sedetik Lebih mula menemui peminat.

Bagi Anuar tidak ada apa yang lebih penting selain mahu melihat lagu tersebut mencuri tumpuan tambahan pula ia bakal termuat sebagai lagu runut bunyi untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa nanti.

Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim ini dirakamkan secara langsung bersama Orkestra Filharmonik Petronas yang turut dibarisi oleh 40 pemuzik profesional.

Menariknya, ia turut dirakamkan dalam bahasa Inggeris dengan judul The Memories .

No comments:

Post a Comment