Friday, December 24, 2010

Gelagat pelik tarik perhatian






KOTA BHARU: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membunuh bayi perempuannya berusia tujuh bulan dalam kejadian di Pasir Puteh pada 12 Disember lalu.

Tertuduh, Marsuzana Che Muda, 31, dituduh membunuh anak tunggalnya, Alia Miazara Mohd Azim, di sebuah rumah lot, Kampung Gual Tengah, Pasir Puteh, pada jam antara jam 4.30 hingga 5.30 pagi, pada tarikh berkenaan.

Marsuzana yang berdepan hukuman gantung mati mandatori kerana dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), bagaimanapun sekadar mendengar pertuduhan dibacakan, selain tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah.

Pada prosiding itu, tertuduh yang belum diwakili peguam bela dibawa ke mahkamah dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu dan tangan bergari, selain kelihatan tenang mendengar pertuduhan dibacakan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Ghazali di hadapan Majistret Norzakiyah Samsudin.


Terdahulu tertuduh dilihat diiringi polis mahkamah untuk mendengar pertuduhan dihadapinya pada jam 11 pagi, selain beberapa ahli keluarga terdekatnya juga hadir melihat prosiding di galeri awam.

Ketika diiringi polis, wanita berkenaan tersengih ketika gambarnya dirakamkan jurugambar dan gelagatnya turut menarik perhatian orang awam kerana berjalan ke arah lain, meskipun ketika itu polis memintanya naik tangga untuk ke mahkamah.

Sebaik kes selesai, dia terpaksa dipujuk masuk ke dalam kenderaan polis untuk dibawa ke lokap, selain mematikan diri selama tiga minit menyebabkan polis terpaksa menundukkan kepalanya untuk memudahkan urusan.

Norzakiyah menetapkan 25 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan patologi dan perubatan.

Akhbar sebelum ini melaporkan jeritan seorang ibu berusia 31 tahun di rumahnya di Kampung Gaal Tengah, di sini, membawa penemuan mengejutkan apabila dia ditemui memangku anaknya yang baru berusia enam bulan dalam keadaan kaku.

No comments:

Post a Comment