Friday, December 24, 2010

Polis rampas pistol, 2 ditahan




JOHOR BAHRU 23 Dis. - Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata api dan merampas sepucuk pistol serta lapan butir peluru di Jalan Permas 11, di sini pada Selasa lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 37 dan 38 tahun itu ditahan dua anggota polis yang ketika itu menjalankan rondaan di Permas Jaya pada pukul 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sewaktu meronda, anggota polis terbabit menahan sebuah kereta jenis Honda Stream dalam keadaan mencurigakan yang dinaiki kedua-dua suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati, kenderaan tersebut dilaporkan hilang November lalu.

"Semasa melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kenderaan itu, polis menemui sepucuk pistol jenis Caliber bersama lapan butir peluru .38 dan sepasang gari. Turut dijumpai, empat sarung muka berwarna hitam, enam utas kabel pengikat, dua sarung tangan berwarna putih dan empat telefon bimbit jenis Nokia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.

Siasatan lanjut, katanya mendapati salah seorang daripada suspek berkenaan mempunyai rekod lampau iaitu memiliki wang palsu.

Tambah Zainuddin, segala peralatan yang dijumpai di dalam kereta berkenaan digunakan untuk tujuan jenayah samun.

Malah, katanya, dengan penahanan dua suspek tersebut, polis percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 21 kes samun yang berlaku di sekitar bandar raya ini.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengesan saki baki kumpulan berkenaan.

No comments:

Post a Comment