Thursday, December 23, 2010

Ibu tidak suka bakal jurutera berniaga

SAYA tergerak berkongsi dilema yang dihadapi dan diharap Dr dapat membantu. Untuk pengetahuan, saya kini di semester akhir pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta dalam bidang kejuruteraan dan bakal menamatkan pengajian dalam tempoh dua bulan.

Saya bukan pelajar yang mampu memperoleh keputusan cemerlang, justeru, tidak bercita-cita menjadi jurutera. Saya lebih berminat untuk menjalankan perniagaan sendiri dan bersyukur kerana tidak terikat dengan pihak penaja pengajian. Saya bebas memilih kerja.

Namun, saya perlu berbincang dengan keluarga.

Bagaimanakah cara terbaik saya meyakinkan keluarga terutama ibu untuk merestui jalan yang bakal dipilih?


Saya bimbang jika mengecewakan keluarga kerana tidak berniat untuk menjadi jurutera.


Mereka tentu mengharapkan saya menjadi jurutera kerana mengambil aliran ini di universiti.

Baru-baru ini, saya bercakap dengan ibu supaya tidak menyewakan kedai miliknya kepada orang lain.

Namun, dia tidak setuju dan menyatakan saya akan mendapat kerja nanti.
Saya serius untuk menjalankan perniagaan sendiri kerana rasa puas melihat hasilnya.

Apa perlu saya lakukan untuk meyakinkan ibu? Dua kakak saya menyokong, tetapi ibu bukanlah jenis mudah dipujuk.

Buat pengetahuan, saya menjalankan perniagaan dalam talian secara sambilan di universiti sejak tahun kedua. Dengan duit keuntungan itu, saya bercadang untuk membuka kafe siber dan alat tulis di kampung yang terletak di pinggir bandar manakala kedai kepunyaan ibu terletak di lokasi strategik.

DALAM DILEMA
Pahang



J:PERNIAGAAN adalah pekerjaan mulia. Cita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan berjaya sememangnya digalakkan. Di universiti, pelbagai program dilakukan dalam usaha menggalakkan mahasiswa menjadi seorang usahawan. Subjek keusahawanan juga ditawarkan di universiti.

Dalam adik cuba meyakinkan ibu mengenai cita-cita ingin menjadi ahli perniagaan, adik perlu menunjukkan sikap serius dan perancangan perniagaan yang jelas kepada ibu. Buat satu kertas kerja yang lengkap mengenai perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang apa yang akan adik lakukan untuk memulakan, mengembangkan dan memajukan perniagaan.

Contohnya, apakah jenis perniagaan yang adik ingin diceburi?. Bagaimana modal untuk memulakan perniagaan, peluang atau agensi yang dapat memberi khidmat nasihat dan pinjaman, latihan bengkel perniagaan yang adik boleh ikuti. Tunjukkan kepada ibu contoh-contoh ahli perniagaan yang berjaya.
Sikap ibu yang tidak mudah dipujuk mungkin boleh dilenturkan jika adik menunjukkan sikap serius dan perancangan jelas serta teliti.

Minta juga sokongan kedua-dua kakak adik untuk memujuk ibu supaya bersetuju dengan cita-cita. Jelaskan kepada ibu, adik faham mengapa dia tidak menyokong keinginan adik untuk berniaga. Hormati pandangannya dan pada waktu sama, mohon ibu memberi sokongan padu atas cita-cita adik. Tunjukkan juga hasil positif perniagaan yang adik lakukan.

Dr doakan adik mampu memujuk ibu untuk menyokong cita-cita murni itu selain akan menjadi seorang ahli perniagaan berjaya hingga ke peringkat antarabangsa suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment