Thursday, December 23, 2010

Mula Julai 2011


KERJA pembinaan fasa pertama projek Transit Aliran Massa (MRT) dianggarkan bernilai RM36 bilion yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang dimulakan Julai tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sehubungan itu tender bagi projek terbabit yang dijangka memakan masa lima tahun dibuka pada April 2011.


“Pemilihan bagi syarikat pelaksana projek ini dibuat secara telus dan penawaran dibuat secara terbuka kepada syarikat tempatan dan luar negara yang mempunyai kepakaran mengendalikan projek MRT.

“Projek ini tidak dibuat secara tergesa-gesa dan kerajaan memastikan ia berjalan mengikut jadual. Masih banyak perlu dilakukan selepas kerja pecah tanah dimulakan terutama urusan pengambilalihan tanah. Bagaimanapun, kami tidak mahu urusan pengambilalihan tanah menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek ini,” katanya pada taklimat media mengenai MRT di Kuala Lumpur, semalam.


Beliau berkata, projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan Kementerian Kewangan bakal mewujudkan perantara tujuan khas (SPV) yang akan dipertanggungjawab melaksanakan urusan berkaitan pembiayaan infrastruktur.


“Kerja mendapatkan dana akan diputuskan pihak perantara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Kamal berkata, pelaksanaan projek MRT di Lembah Klang dianggarkan menjana antara RM3 bilion RM4 bilion setahun kepada pendapatan kasar negara ini dalam tempoh 10 tahun bermula tahun depan.

No comments:

Post a Comment